Saturday, June 17, 2006

AMINAH RHAPOR
Pengarah Urusan Sdaf Pictures (M) Sdn Bhd

Lahir diTanjong Malim dan mendapat pendidikan teater pada peringkat asasnya di Institut Bimbingan Seni (IBS), Kompleks Budaya Negara (KBN), Kuala Lumpur. Mengikuti Sijil Seni Kreatif (USM) dan seterusnya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengkhususan Seni lakon) dan Sarjana Sastera (Drama dan Teater) di USM. Kini menyambung pengajiannya di UM.

Terbaru, beliau mengarahkan Teater Muzikal ”Mah Ho Huan” sempena Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2006, pada 4-5 hb. Feb,2006 di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Teater ini akan di bawa tour ke negeri-negeri oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWA). Beliau juga menulis skrip dan mengarahkan “Teater Muzikal Krismas” sempena Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2005, pada 26 hb.Dis.2005 di Stadium Negara. Kedua-dua teater terbitan KeKKWA ini di hadiri oleh Duli Yang Di Pertuan Agong dan para pembesar negeri.

Istana Budaya juga pernah mementaskan skrip dan arahan beliau, Teater Muzikal Kanak-Kanak “ Siti di Alam Fantasi” pada Nov.2000. Mencatatkan sejarah penonton teater paling ramai pada masa itu, mengatasi teater dewasa. Teater kanak-kanak ini juga pernah dipentaskan di MATIC bersempena Festival Kebudayaan Komanwel Kuala Lumpur’98. Teater ini berkembang pula menjadi siri tv terbitan RTM 1 yang ditayangkan sepanjang tahun 2001. Beliau menulis dan mengarahkan sendiri siri ini sebanyak 39 episod.

Pernah Mewakili Malaysia ke Asia-Europe Puppet Festival (Bangkok, 17-22 July 2002) dengan mengarah Teater Boneka “Alang Bistari”. Teater boneka ini juga pernah dipentaskan bersempena Pertabalan Yang di Pertuan Agong Ke XII pada 26 April 2002 di Hotel Palace of the Golden Horses MINES, Seri Kembangan, Anjuran Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan.

Beliau juga turut bertindak menerbitkan dan mengarahkan sendiri Teater Tragedi ” Wajah Lumpur ”, pada Sept.2005 di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC). Teater ini anjuran bersama KeKKWA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan SDAF Pictures (M) Sdn. Bhd.

Skrip dan arahan beliau iaitu teater “ Tanah Bernanah ”, terbitan KBN, di bawah slot Drama Sebabak tahun 1993, MATIC pernah dibawa ‘tour’ persembahannya ke Selatan Malaysia. “Tanah Bernanah” adalah juara Pekan Teater Kebangsaan 1992. Memenangi Persembahan Terbaik, Teknik Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik , Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan beliau sendiri memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik.


Beliau juga pernah mengarah Teater Muzikal Tari “Laila Majnun” bersempena Festival Kebudayaan Komanwel Kuala Lumpur ’98. Teater “ Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang”, arahan bersama Aziz M.Osman. Teater Bangsawan ”Puteri Hang Lipo”, DBP, Teater kanak-kanak ” Muzikal Kasih” terbitan Puspanita Putrajaya dan ”Siber 5”, terbitan TEMA. Pernah juga menjadi penolong pengarah Teater “ Selendang Umi” karya SN Dato’ Nordin Hassan, sempena Festival Kebudayaan Komanwel Kuala Lumpur ’98 dan Teater ”Merdeka, Merdeka, Merdeka” di Istana Budaya.


Selain berteater, beliau juga turut mencari pengalaman di bidang perfileman. Pada 1997 beliau menjadi penolong pengarah kepada Aziz M.Osman bagi Filem “ Baginda” dan filem tersebut memenangi anugerah Filem Terbaik 1998. Penolong pengarah bagi penerbitan drama bersiri “ Romeo & Juliet “ dan “Salam Taj Mahal “ terbitan Kuasatek Pictures Sdn. Bhd. Beliau juga turut berlakon di dalam drama tv ”Salam Taj Mahal, ”Paparazzi”, ”Akademi Cinta”, ”Haryati”, ”Sinar” dll.


Beliau juga bertindak sebagai Panel Juri Profesional bagi Festival Kesenian Antara Kementerian-Kementerian, Panel Hakim festival teater selangor 2003, hakim pertandingan Pekan Teater, hakim festival teater kanak-kanak Johor dan panel hakim bagi Pertandingan Menulis Skrip Drama Kanak-Kanak 2002. Pengkhususan beliau di dalam teater kanak-kanak menyebabkan beliau selalu menjadi penceramah dan pembimbing bagi bengkel-bengkel yang berkaitan dengannya. Beliau juga akan mula mengajar di Uitm pada jun 2006.